Friday, 27 December 2013

Membezakan kasih sayang punca anak derhaka


Membezakan kasih sayang punca anak derhaka
Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Isteri Basyir bin Saad al-Anshari meminta suaminya supaya memberikan harta yang berharga kepada seorang anaknya yang bernama al-Nu’man bin Basyir RA. Dia menyuruh suaminya berjumpa Rasulullah SAW supaya baginda boleh menjadi saksi di atas pemberian sejumlah harta kepada anaknya itu. Maka Basyir pun mendatangi Rasulullah SAW, kemudian berkata: ”Wahai Rasulullah SAW, isteriku meminta supaya aku memberikan harta untuk anakku si polan dan aku mahu supaya kamu menjadi saksinya. Bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya: ”Apakah anak-anakmu mempunyai saudara-saudara yang lain?” Basyir menjawab: Ada! Rasulullah bertanya lagi: Adakah semua mereka engkau berikan hamba sahaya seperti engkau berikan kepada anakmu yang itu? Jawab Basyir: Tidak! Rasulullah SAW bersabda: ”Perbuatan seperti itu adalah tidak patut dilakukan dan aku tidak boleh menjadi saksi, kecuali atas yang hak dan benar sahaja.” (Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad dan Abu Daud)


Di dalam sabda baginda SAW yang lain bermaksud: ”Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tersebut di dalam kitab al-Mughni, diutamakan anak itu dalam pemberian kerana suatu pengkhususan seperti ada keperluan yang mendesak atau kerana ia mengidap penyakit seperti lumpuh, buta atau kerana tanggungan anak-anaknya ramai atau kerana masih menuntut ilmu dan sebagainya yang patut dikhususkan. Begitu pula dalam hal menahan pemberian kepada setengah-setengah anak kerana kefasikannya, atau kerana melakukan bid’ah atau menggunakan pemberian itu untuk bermaksiat kepada Allah Taala atau dia membantu orang lain melakukan maksiat. Maka menurut riwayat Imam Ahmad ia dibolehkan melakukan yang demikian.
Harta boleh merosakkan manusia, perkara ini amat diambil berat oleh baginda SAW di dalam mendidik anak. Islam merupakan al-Din yang sempurna ajarannya. Segala sesuatu yang berhubungan dengan hidup dan kehidupan ini diatur dan disusun mengikut landasan hukum dan ajaran agama yang syumul. Islam mengajarkan supaya seorang muslim merancang apabila mahu mendirikan bahtera rumahtangga. Diawali dengan pemilihan pasangan yang betul, yang menepati ciri-ciri iman dan amanah. Di samping persediaan diri dalam hal ilmu rumahtangga, bekalan ekonomi yang kukuh dan kemantapan emosi. Apabila dikurnia seorang anak sebagai cahayamata dan penenang jiwa maka sepasang suami isteri akan mengalami fasa yang baru dan lebih mencabar.
Agama juga mengatur gaya dan cara asuhan seorang muslim terhadap anak-anaknya. Sebagai bapa dan ibu yang beriman kita dituntut untuk berlaku adil kepada anak-anak. Supaya kehidupan berkeluarga terjaga dengan sikap saling menyayangi dan tidak timbul perselisihan di antara mereka. Kebahagiaan sejati adalah perasaan kasih sayang yang boleh dikongsi bersama keluarga, tiada kebencian, buruk sangka dan ketamakan harta yang merosakkan pertalian darah dan nyawa. Berapa ramai manusia yang tercari-cari kasih sayang, ketika hendak menutup mata barulah adik beradik kembali dihubungi, yang jauh mahu didekatkan dan yang berpecah ingin disatukan. Di situlah manusia menemukan kekayaan sejati, ketika kasih sayang seorang adik menutup mata, kakak yang mahu berpisah nyawa dari badan. Hilang segala kebencian dengan kemaafan dari nurani, kala itu harta benda rasa tak berharga. Sengketa yang dahulu berpunca dari harta musnah sudah dengan pertalian darah saudara sekandung. Tetapi jika demikian akhir ceritanya, sungguh menyayat hati, mengapa tidak dihindarkan persengketaan itu dan dicari punca sebenar ia terjadi?
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita, berlaku adillah kepada anak-anakmu! Hati mereka akan disatukan oleh kasih sayang. Sesungguhnya salah satu punca kerenggangan hubungan anak-anak adalah sikap ibu bapa yang berat sebelah. Yang tua dilebihkan daripada yang muda, atau yang bongsu istimewa dari yang lain. Sungguh Nabi SAW menolak menjadi saksi ke atas Basyir yang mahu melebihkan seorang anaknya daripada yang lain.
Kasih sayang orang tua dan keadilan dalam pemberian harta ke atas anak-anak mereka adalah perkara yang dituntut oleh agama. Supaya tidak ada pemusuhan dan persengketaan pada akhirnya. Bukan hanya harta yang menjadi tumpuan perebutan bahkan perhatian dan cinta orang tua juga amat berharga bagi anak-anak. Ada kalanya kita melebihkan anak yang kaya daripada yang sederhana. Atau yang berjaya dalam karier sentiasa dipuji melambung-lambung di hadapan yang anak-anak yang gagal. Sungguh tidak adil bila ibu bapa membeza-bezakan anak walaupun dengan pujian dan penghargaan. Ada pula ibu bapa yang menyebut satu persatu pemberian anak yang kaya di hadapan anak yang kurang berkemampuan. Hal itu telah mendatangkan kemurungan dan rasa terkilan pada diri anak yang tidak dapat memberi lebih kepada orang tuanya.
Akhirnya kita sendiri yang membuat anak-anak menjauh dari sisi, anak-anak akan datang dan pergi mengikut keredaan hati ibu dan bapanya. Jika kita sebagai ibu bapa reda dengan apa saja keadaan mereka, mereka akan datang mencium tangan menagih sayang. Tetapi jika sindiran sahaja yang mereka dengar dari mulut ibu dan ayah. Siapakah yang sudi menemani di akhir usia nanti? Derhaka atau tidak mereka tetap darah daging kita, begitu cara kita membuat acuan begitu pula akan terjadi pada diri mereka nanti. Kertas yang putih itu pasti ada yang mencorakkannya hingga ia tak lagi putih.
Sesetengah adat orang Melayu Sarawak, kaum ibu sengaja menyimpan tali pusat bayi mereka yang telah kering. Disimpan dalam satu botol dan tidak boleh dipisahkan tali pusat anak-anak itu kesemuanya. Apabila ditanya maksud dan tujuan perbuatan itu, mereka percaya bahawa anak-anak akan rukun dan saling menyayangi hingga ke akhir hayat. Memang tak masuk di akal dan agama tidakpun mengajarkan perkara itu. Tetapi ia telah memberi satu pengajaran kepada kita bahawa orang-orang tua kita amat menitik beratkan kerukunan dalam mendidik anak-anak mereka.
Sumber :- Drjuanda.com